Friday, June 10, 2011

DARI MINDA YANG LEMAH INI.

Bismillahirrohmanirrohim Assalamualaikum.Hari Khamis, kami ke rumah Ustazah Hajah Azizah untuk membantu mencuci rumah Ustazah seperti yang telah kami rundingkan sebelumnya. Ketika ada hayat Allahyarham Ustaz suami Ustazah, mereka tinggal di Taman (?). Setelah anak bungsu Ustazah melangsungkan perkahwinan, rumah itu diserahkan kepada Ucu, dan Ustazah berpindah ke Gombak berhampiran pusara Allahyarham suami. Anak2 Ustazah juga ramai di Gombak. Namun, untuk memudahkan urusan perniagaan mereka; perubatan Homeopathy dan sekolah 'agama', mereka mengambil keputusan berpindah semula  ke Bangi dan Kajang; jauh pula daripada kami yang tinggal di Taman Prima.
Pada umur Ustazah yang telah mencapai kira-kira 73 tahun dan banyak masa diluangkan berurusan dengan pesakit yang mahu mendapatkan ubat, serta mengajar kitab-kitab lama fardhu 'ain dll di Pejabat-pejabat yang mengundang Ustazah, tidak selayaknya beliau menguruskan kerja-kerja remeh sebegitu. Jadi kami datang untuk memberi khidmat bakti. Kami turut membawa sedikit lauk, yang sepatutnya kami khaskan buat Ustazah, tetapi turut kami kongsi ketika diajak makan bersama.
Rasa seronok dan puas dapat membantu, tetapi kami pulang bukan dengan tangan kosong; kami dapat sedikit ubat dari Ustazah, dan pembantu pula dapat 'imbuhan'.
Memandangkan ada lagi kerja yang belum selesai, kami rancang akan kembali lagi.
Di kesempatan itu, kami sempat diberi sedikit 'tips' oleh Ustazah. Pesan Ustazah, setiap bangun pagi, bertaubat dahulu, kemudian diikuti dengan amal ibadat yang lazim kita lakukan. Ustazah juga beri ingatan untuk beri perhatian kepada hadas besar dan kecil kerana tidak sempurna amalan jika hadas tidak sempurna. Kita telah pelajari tetapi masa, kebiasaan, akan merubah untuk 'mengambil mudah' sahaja.
Ini adalah satu alasan supaya kita sentiasa mencari ilmu walau berapa pun umur kita. Hadhirlah di majlis ilmu, walau pun kita terlena, tetap mendapat pahala 'hadhir'.
Sebenarnya ilmu itu sangat luas. Apa yang dipelajari di sekolah hanya sedikit ilmu untuk kelangsungan hidup dan mendapatkan pekerjaan sedangkan banyak lagi ilmu-ilmu yang boleh diterokai, boleh mewujudkan lagi pekerjaan, jadi kita perlu menjana pemikiran, mencari dan terus mencari ilmu.
Bacalah AlQuran kerana di situ ada ilmu yang sangat luas.
Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment